"Frustration of teaching us the meaning of life. Continue our struggle despite facing resistance by the resistance in your life."

Tuesday, May 31, 2011

Dekatilah Aku Setiap Detik


Assalamualaikum...

Entriku kali ini sungguh menyakitkan hati dan melukakan perasaanku pada waktu ini.

Tidak aku sangkakan, hatiku begitu rapuh untuk menerima dan menempuh semua ini. Kenapa aku diperlakukan sedemikian? Dimanakah pembelaan terhadap diriku selama aku dilahirkan? Dimanakah ruang untuk aku menegakkan keadilan disaat penipuan hampir menguasai mereka? Betulkah tidak wujud kebahagiaan untuk diriku di dunia ini? 

Satu persatu masalah melanda diriku, tidak kurang juga masalah yang telah lama menghantuiku dari dulu.
Sedikit pun mereka tidak hargai kewujudan diriku. Siapakah aku pada mereka? Adakah sekadar bantuan jasadku kepada kehidupan mereka?

Telah lama aku pendamkan masalah ini. Sejak adikku menetap di sekolah asrama itu. Bermula pada itu, segala-galanya berubah. aku seperti hampas yang tiada gunanya lagi, lalu adikku menjadi sanjungan kepada mereka. Bagi mereka, itulah harapan mereka waktu ini, dialah yang akan membawa kebahagiaan kepada keluarga ini. Aku terima dengan tabah kenyataan mereka. Diri ini sedar dimana kedudukan sebenarku. Biarpun luka ini tidak pernah kering mahupun meninggalkan parut lagi sehingga sekarang, aku tetap akan tempuh hari-hariku seperti anak yang lain.
Anggap sahaja seperti tiada apa yang berlaku disekelilingku.

Malah aku bawa luka itu, ke mana sahaja aku pergi. Mereka tidak mengerti betapa pedihnya menjadi orang yang dipinggirkan hanya kerana taraf kecerdikan yang jauh berbeza antara kami. Aku tahu aku tidak sepandai dia, aku tidak secerdik dia, aku tidak sepintar dia. Aku sedar aku dilahirkan di dunia ini pun hanya kebetulan. Setiap kali mengenangkan luka ini, sebak dihati sehingga air mataku bergenang dan akhirnya mengalir tanpa dipinta. 

Setiap detik aku hitung untuk mengira hayat yang tinggal untuk aku bernafas dengan sempurna di bumi Allah ini. Andai kata hayatku tidak panjang, aku bersyukur kerana mungkin inilah saat yang terbaik untuk lukaku menjadi kering seterusnya meninggalkan parut. Parut itu akan aku bawa bertemu Sang Pencipta. 

Dua hari yang lepas, aku mendapat tahu bahawa adikku menunggang motosikal tanpa pengetahuan mereka. Sungguh aku sakit hati dengan sikapnya. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya hati ini tahu yang adiknya sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya berlaku seawal umurnya. Telah aku katakan kepada mereka jangan dimanjakan anak lelaki tetapi sedikit pun kata-kataku tidak diambil kesah. Bukan sekali mahupun dua kali aku ingatkan mereka tetapi hampir setiap hari.
Aku tidak mengerti kenapa sehingga perkara begini berlaku mereka masih berlembut dengan dia sehinggakan boleh keluar malam dan pulang pada pukul 12 tengah malam. Pada aku, detik 12 tengah malam itu, tidak sepatutnya dia masih berada diluar rumah. Tetapi pada mereka, perkara itu sekadar masalah kecil. Aku masih tidak mengerti dengan sikap mereka sampai hari ini.

Masalah mereka berdua membuatkan aku ingin memberontak. Aku tidak mampu harungi keadaan seperti ini jika ia berterusan. nasihatku umpama debu yang hanya memberi kekotoran pada sesuatu permukaan. Tidak diendahkan sama sekali kata-kataku. 

Tiada gunanya aku bergelar "ALONG" di dalam keluarga ini.
Tiada gunanya aku bergelar "ANAK" kepada mereka.
Tiada gunanya aku dilahirkan di dunia ini dari 1993 sehingga sekarang. 

"Ya Allah, berilah aku satu penyakit yang akan menyingkatkan hayatku di dunia ini. Aku tidak tahn dengan sikap manusia disekelilingku ketika ini. Aku seperti tiada guna kepada mereka. Ya Allah, kasihanilah hamba-Mu ini, dia memerlukan bimbingan-Mu untuk menghadapi sisa-sisa hidupnya. Kini, keluarga bukanlah kepentingan bagiku lagi. Hanya Engkau kepentinganku."

Umi & Abah,
Terima kasih kerana melahirkan tiqah ke dunia ini.
Terima kasih kerana memberi segala-galanya yang diperlukan untuk tiqah.
Tetapi hanya satu permintaan tiqah, jagalah adik-adik tiqah kerana mereka adalah harapan dalam keluarga.
Tiada apa lagi sumbangan tiqah dalam keluarga ini. 

Hanya sakaratul maut yang aku nantikan dari sekarang. Sesungguhnya mengingati kematian akan memberi ketenangan kepada diriku. Mungkin pemergianku akan memudahkan kehidupan mereka. 

"Ya Allah, lindungilah mereka dan kehidupan mereka sehingga hari kiamat. Bimbinglah mereka selagi mereka berpegang dengan agama-Mu. Bukakanlah pintu rezeki kepada mereka agar mudah kepada mereka untuk mengabdikan diri kepada-Mu. Ampunkanlah dosa-dosaku jika sepanjang kehidupanku tiada yang baik aku lakukan kepada mereka. Sesungguhnya aku masih sayangkan mereka walaupun berkali mereka lukakan dan sakitkan hatiku. Hati seorang anak mengharapkan keampunan dari kedua ibu bapanya."

Sekian...

Sunday, May 8, 2011

Keampunan Yang Aku Inginkan Dari Ummi

Assalamualaikum...

Lihat dari title post aku kali ini sungguh sayu bunyinya..
Aku tidak pernah sedar hari ibu semakin dekat waktu ini..
Aku hanya memikirkan masa depanku sahaja tanpa menghiraukan hari ibu yang akan datang.
Tidak seperti anak-anak yang lain, segala idea mencurah-curah untuk memberikan kejutan kepada ibu mereka sempena hari ibu nanti.

Tetapi aku.. Tidak sedikit pun memikirkan tentang ummi yang telah mengorbankan segala-galanya untuk anak-anak sejak aku dilahirkan sehinggalah sekarang.

Pelbagai suka dan duka yang ummi tempuh dari hari pertama mendapat tahu aku adalah anak pertama mereka sehingga 18 tahun usiaku meningkat. 
Pelbagai ummi lakukan dan korbankan demi melihat kegembiraan dan kebahagiaan terpancar di wajah anak-anak. Sungguh mulia hati seseorang yang bergelar ummi/ibu/mak/mama.
Allah itu Maha Hebat kerana menjadikan hati seorang ibu sangat cekal dan tabah walau dugaan yang ditempuh itu sangat mencabar. Oleh sebab kesabaran yang dianugerahkan kepada ibu sangat tinggi, ibu sanggup melayan apa jua karenah anak-anak yang pelbagai ragam.
"Ummi, sungguh mulia wajahmu dihatiku. Waktu ini aku merenung wajahmu dengan mata hatiku agar aku dapat merasakan kasih sayangmu itu terhadap anak-anakmu ini. Aku tahu jauh di sudut hatimu jelas tertulis yang ummi menyayangi anak-anak ummi tanpa berbelah bahagi tetapi kami sebagai anak kadang kala melihat itu dengan mata zahir"

Setiap abad, setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari dan setiap saat sekalipun, usiamu semakin tua. Itu tidak dapat dinafikan kepada semua yang bergelar hidupan tidak kira manusia, haiwan mahupun tumbuhan. 
Kadangkala Allah mendugamu dengan menurunkan penyakit. Ibu selalu mengadu kepada suami dan anak-anak bahawa ibu sakit waktu ini. Anak-anak hanya mengiakan sahaja tanpa menghulurkan bantuan yang ibu harapkan. Setiap malam ibu mengerang kesakitan tanpa memanggil anak-anak dengan harapan anak-anak datang membantu tanpa dipanggil atau diteriak. Malangnya, tiada seorang pun anaknya yang mengendahkan panggilanmu. 

Selepas 1 minggu berlalu, penyakit itu Allah tarik kembali dari ibu. Ibu bersyukur tidak terhingga walaupun jauh di sudut hatinya terkilan akan sikap anak-anak yang tidak sedikit pun membantu ibu ketika ibu sakit. Penyakit ibu tidaklah teruk hanya pening-pening di kepala.

Ibu simpan sahaja rasa terkilan itu di dalam hati.
Hari silih berganti tanpa setiap insan di dunia menyedari perubahan itu. Pada suatu hari, Allah telah memberi ujian yang sangat hebat kepada ibu apabila ibu diberitahu oleh doktor yang merawatnya bahawa ibu telah menghidap penyakit barah otak atau lebih dikenali dengan brain cancer.
Cancer yang dialami ibu bukanlah pada tahap permulaan tetapi sudah berada di tahap yang sangat kritikal bagi seorang pesakit cancer. Semua perasaan bercampur baur di dalam hati walaupun begitu, ibu tetap memikirkan keadaan anak-anaknya terlebih dahulu. Begitu sekali hati seorang ibu walau macam mana sakit pun anak-anak tetap diutamakan.
Malangnya anak-anak tidak diberitahu tentang perkara ini untuk mengelakkan anak-anaknya risau tentang ibu. Penyakit ibu semakin hari semakin ketara dari sifat fizikalnya. Anak-anaknya tidak sekalipun mengambil berat akan perubahan yang berlaku pada ibu. Ibu semakin lemah dan sentiasa memakan ubat yang diberi oleh doktor untuk menahan sakit. 
Anak-anaknya sering kali meninggalkan ibu ketika ibu sakit. Anak-anaknya pergi mengejar harta dunia yang tidak sama sekali kekal di akhirat kelak. Ibu sentiasa berdoa kepada Allah agar anak-anaknya diberi petunjuk dan rahmat. 
Ibu menanggung kesakitannya sehingga sampai masa untuk Allah menjemput ibu pergi bersama-Nya.
Ayah segera menelefon anak-anaknya untuk pulang ke rumah. ayah memberitahu bahawa ibu sangat lemah ketika itu lalu jawapan yang diberikan oleh anak-anaknya sangat mngecewakan, "Ayah bagilah ibu makan ubat. Nanti sembuhlah ibu tu. Abang, kakak dan saya tak boleh balik sekarang. Tengah kerja. Nanti hujung minggu kami baliklah. Kirim salam pada ibu" 
Sungguh tidak disangkakan anak-anaknya akan memberi jawapan seperti itu dikala ibu memerlukan mereka. 
Perasaan ibu waktu itu sangat terluka akan sikap anak-anaknya yang tidak ada masa sedikit pun untuk ibu. 
Di malam yang sunyi itu, nafas ibu semakin laju, ayah yang baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib segera melihat keadaan ibu yang sebenar. Jelas terpancar kerisauan seorang suami akan keadaan isterinya. Ayah segera menghubungi anak-anaknya untuk memberitahu keadaan ibu ketika ini. 
Anak-anaknya segera pulang apabila mendengar berita tentang ibu. Dengan keadaan resah dan gelisah yang jelas ditunjukkan oleh anak-anaknya, malam itu mereka pulang dalam keadaan serba salah. Waktu itulah mereka teringatkan detik-detik sedih ketika ibu meminta pertolongan ketika sakit, di saat ibu sakit teruk di rumah, mereka sibuk mencari dan mengumpul harta dunia. Tidak sekali pun mereka menghiraukan sakit yang menimpa ibu. Tidak sekali pun mereka menyelami perasaan seorang ibu yang kecewa disebabkan sikap anak-anaknya. 


Seribu satu perasaan bermain di fikiran sehingga mengganggu emosi mereka ketika memandu. Biasalah di waktu malam jika memandu perlu berhati-hati. Banyak lori-lori besar yang menggunakan lebuhraya itu pada waktu malam berbanding di waktu siang. Ketentuan Allah tidak dapat kita duga, mereka bertiga yang memandu menghala ke rumah ibu dan ayah, mendapat kemalangan yang sangat teruk. 
Tiada lagi peluang untuk anak-anaknya memohon ampun dari ibu. Sekalipun untuk membacakan yaasin kepada ibu yang sedang tenat waktu itu. Mereka segera dikejarkan ke hospital untuk diselamatkan tetapi kehendak Allah tiada siap dapat menghalang. Pada waktu yang sama, anak-anaknya menemui ajal sebaik sahaja sampai di hospital yang berdekatan itu dan ayah mendapat panggilan dari pihak hospital. Tidak disangka saat itu juga nyawa isterinya pergi tanpa disedari.
Allah Maha Adil. Anak-anaknya tidak sempat untuk menghulurkan tangan memohon kemaafan daripada ibu dan ayah. Ibu pula pergi dengan membawa kesedihan dan kekecewaan terhadap anak-anaknya. Dosa yang telah dilakukan oleh anak-anaknya tidak dapat diampunkan oleh ibu. 


p/s : Di sini saya ingin mengingatkan diri saya dan anda semua bahawa ibu dan ayah hanya ada satu di dunia. Jika yang satu itu tidak kita hargai, maka Allah ambil kembali nikmat yang sangat bernilai itu daripada kita. Tidak akan ada yang dapat menyerupai kasih sayang ibu dan ayah kepada kita. Tiada guna harta yang banyak diberi kepada ibu dan ayah kerana mereka hanya perlukan perhatian kita kepada mereka. Janganlah kita sakiti hati mereka kerana mereka tidak pernah sekali pun menyakiti kita sejak kita dilahirkan di dunia ini sehingga sekarang. Ingatlah wahai insan yang bergelar ANAK.

Wednesday, May 4, 2011

Bukan Kehendak Aku


Assalamualaikum...
Terlebih dahulu, aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada USTAZ DR. AZAHAR YAAKOB & USTAZAH NOR HAFIZAH MUSA. Mereka berdua adalah insan yang telah menyedarkan aku di saat aku memerlukan nasihat dan semangat untuk menempuh hidup ini di atas landasan islam itu sendiri. mungkin ini hikmah di sebalik Kem Remaja Soleh Remaja Sukses yang aku hadiri semalam. 
Kem itu sangat bermakna buat aku niarpun yuran pendaftarannya tidak semahal kem-kem yang lain tetapi nilai dari kem itu sangat sangat tinggi dan bermakna.
Selepas ini, Insya-Allah, aku mesti lakukan perubahan dalam hidup aku yang selama ini tidak menentu. 
"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa aku selama ini sepanjang aku hidup di atas bumi yang diciptakan oleh Engkau. Sememangnya aku tidak layak untuk berjalan apatah lagi menjalani kehidupan seharian aku di bumi-Mu yang sangat hebat ini. Ya Allah, berilah aku kudrat yang cukup untuk aku menunaikan perintah-Mu, berilah aku hati yang suci lagi bersinar untuk aku terus bersujud kepada-Mu sehingga aku bertemu dengan-Mu. Ya Allah, sayangilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka menyayangi aku, tempatkanlah mereka di kalangan orang yang beriman, bukakanlah pintu rezeki bagi mereka dan permudahkanlah segala urusan yang mereka lakukan. Ya Allah, perbetulkanlah niat kami dalam melakukan apa jua perkara atau kerja hanya kerana-Mu"


Di saat ini, aku ingin jujur bahawa aku masih teringatkan dia. Aku tak tahu mengapa tapi memang aku terlalu rindukan dia waktu ini. Hanya tuhan saja yang tahu apa yang aku rasa saat ini. 
Tidak sepatutnya ingatan aku melencong untuk mengingati dia tetapi aku mesti mengingati Allah S.W.T. yang telah menciptakan aku di dunia ini. 

"Ya Allah, aku telah melupai-Mu saat ini hanya kerana mengingati seorang kaum Adam dan tidak seharusnya itu berlaku. Maafkanlah aku, ya Allah. Aku tidak berniat untuk melupakan-Mu"

Walau aku mengingati dia saat ini, aku akan segera melupakan dia kerana aku tidak mahu mengejar cinta dari lelaki lagi. Cinta yang aku harapkan ketika ini hanyalah cinta Allah S.W.T..
Sesungguhnya aku memerlukan cinta yang abadi dan tidak pernah memberi luka serta parut di hati ini.